Umat Islam masa kini terkebelakang berbanding umat lain dalam banyak aspek.Walaupun bumi yang didiami umat Islam mempunyai pelbagai sumber kekayaaan umat Islam terus ditindas dan berada dalam kemiskinan.Malah sesetengahnya terpaksa menjadi pelarian.Mengapa semua ini berlaku?
Sejarah menunjukkan umat Islam tidak beroleh kemenangan terus sepanjang masa.Ada masa menang dan ada masa kalah. Rasulullah SAW pernah mencapai kemenangan dalam Perang Badar tetapi kalah dalam Perang Uhud. Kemenangan dan kekalahan adalah ketetapan maha pencipta. Allah swt. Berfirman di dalam surah Al-Imran, ayat 140 bermaksud : “dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan). Kami gilirkannya antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah t entang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid,”
Walaupun umat Islam kini terkebelakang, perkembangan mutakhir sangat memberangsangkan.Ada tanda-tanda menunjukkan umat Islam akan kembali menjadi kuat sebaik sahaja factor-faktor yang menyebabkan kelemahannya dapat dihapuskan.
Antara faktormya ialah akidah umat Islam kini telah dibauri pemikiran yang diada-adakan oleh manusia semdiri. Ini menyebabkan akidah mereka tidak dapat memberi dorongan ke jalan suci yang mencerminkan keharmonian insaniah serta keluhuran rohaniah. Kemajuan material juga sudah menyerap ke segenap aspek hidup. Lantaran itu, akidah tidak mampu berdepan dengan pelbagai asakan.
Jika individu muslim menghayati ajaran Islam sebenar, kemelut umat masa kini akan dapat diatasi, Ini kerana Islam itu sendiri bersifat indah yang membentangkan pelbagai formula berkesan dalam menyelesaikan masalah manusia.
Keindahan Islam dapat diperhatikan daripada keunikannya berbanding agama lain.Ini dapat dilihat daripada beberapa aspek berikut
1. Agama Islam dari Allah
Sumber agama Islam ialah dari Allah. Allah yang mengatur dan menyusun ajaran Islam dan mewahyukannya kepada Rasulullah saw untuk disampaikan kepada umat manusia. Firman Allah swt di dalam Surah Ali Imran, ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di s isi Allah ialah Islam.”
2. Kesempurnaan Islam
Ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia daripada perkara yang paling kecil sehingga paling besar. Ajarannya juga meliputi perkara yang telah berlaku dan belum berlaku serta apa sahaja unsur yang bersifat reality atau ghaib.
3. Islam bersifat menyeluruh
Ajaran Islam bukan sahaja membicarakan kehidupan di akhirat, malah mengajar manusia peraturan hidup di dunia. Ringkasnya, ajaran Islam memandu madusia dalam mencari kebahagiaan di akhirat dan di dunia.
Allah berfirman di dalam surah al-Ambiah, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
4. Islam bersifat sederhana
Islam adalah agama yang mengambil pendekatan sederhana dan tidak fasik. Dengan kata lain, ajaran Islam mengambil jalan tengah di antara dua keadaan bertentangan. Dalam melaksanakan sifat ini, Islam menyeru manusia melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan perkara yang memudaratkan.
Firman Allah swt di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerna) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
5. Islam agama yang mudah
Oleh kerana Islam mangamalkan sikap sederhana, ia mudah diikuti semua golongan masyarakat dalam menguatkuasakan peraturan dan hukuman.Islam tidak bertindak dalam bentuk paksaan, sebaliknya memberi kefahaman dan mendidik sehingga timbul kesedaran sendiri di kalangan penganutnya untuk mematuhi peraturan. Selain itu, ajarannya adalah fleksibel serta bertolak ansur terhadap sesuatu masalah.
Bersatu Dalam Semua Aspek Kehidupan
Firman Allah swt bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira (bangga) dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).”(Surah Ar-Rum, ayat 32)
Huraian: Ayat ini menyentuh secara langsung kedudukan umat Islam yang bersifat berpuak-puak akibat perselisihan pendapat. Akidah dan kepercayaan hanya mampu menyatukan umat Islam dalam soal ibadat khusus. Kita mampu bersatu ketika menunaikan solat. Kita sembahyang dalam satu masjid, menyembah Allah yang satu, mengikut rasul yang sama dan menghadap ke satu kiblat. Kita sudah ada keupayaan untuk bersatu dalam hal-hal ibadat tetapi kurang keupayaan untuk bersatu sesama Islam dalam mengharungi kehidupan.
Walaupun penjajah sudah keluar dari negara umat Islam, mereka meninggalkan perangkap yang membelenggu pemikiran sebahagian umat Islam. Perpaduan adalah perkara dasar yang perlu dirujuk kepada pandangan Islam berasaskan al-Quran dan hadith, bukan kepada pandangan dan kepentingan kumpulan tertentu.
Pandangan individu dan kumpulan wajib tunduk dan akur kepada kebenaran yang datang dari al-Quran dan hadith. Kita tidak patut kehilangan arah dalam menyelesaikan apa juga masalah umat. Kita harus ingat bahawa umat Islam ditinggalkan oleh penjajah dalam keadaan berpuak-puak dan sukar untuk bersatu. Penjajah berbuat demikian supaya orang Islam tidak berdaya mengemblengkan apa sahaja kekuatan untuk menandingi mereka. Malah musuh-musuh Islam akan memperalatkan sesiapa sahaja untuk terus memperalatkan sesiapa sahaja untuk terus melemahkan umat Islam.
Kita hendaklah bersyukur dengan pencapaian yang diperolehi di samping memastikan kekuatan dan keharmonian yang ada terpelihara sewajarnya.
Rasulullah saw turut memperingatkan perkara ini menerusi sabdanya yang bermaksud: “Hubungan orang-orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kuat menguatkan di antara satu sama lain.”
Inilah tugas yang perlu dilaksanakan setiap mukmin supaya kita saling bekerjasama dan batu membantu untuk membina segala kekuatan dalam segenap bidang. Membangunkan kekuatan sesuatu umat dan negara adalah satu uasaha yang sukar dan mengambil masa yang lama. Ia juga menuntut pengorbanan. Sebaliknya untuk meruntuhkan sesuatu yang telah dibina boleh dilakukan kanya dalam masa singkat.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk menjadikan diri kita sebagai pencetus dan pendolong kepada perpaduan dalam semua bidang kehidupan. Marilah kita sama-sama berperanan menanam benih perpaduan dengan baja kasih saying dan menyuburkannya dengan keimanan yang akhirnya mengeluarkan buah-buah kebahagiaan dan kedamaian yang dapat dinikmati bersama.
Kita perlu memiliki akidah yang mantap dan berjiwa besar serta keikhlasan dan kebijaksanaan untuk terus membina perpaduan dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang. Cabaran yang ada di hadapan kita terlalu besar dan banyak. Musuh-musuh Islam bekerja keras siang dan malam untuk melemahkan umat Islam. Mereka melakukan serangan dari semua medan sama ada menerusi media, ekonomi dan kekuatan persenjataan.
Tetapi masih ramai umat Islam yang terus hanyut dan dilalaikan dengan program yang membuang masa serta tidak berfaedah. Kelalaian di kalangan umat Islam memberi kekuatan dan keuntungan kepada musuh Islam. Justeru, kita mesti bersedia dengan perancangan dan melihat jauh ke hadapan bagi mengharungi segala cabaran.
Jika kita bersatu, apapun cabaaran akan dapat dihadapi. Sebaliknya jika kita berpuak-puak sebagaimana digambarkan oleh ayat ini, umat Islam mungkin akan terus ketinggalan berbanding umat lain.
No comments:
Post a Comment