Thursday, 1 June 2017

Jahiliyyah Itu Erat Dalam Gigitanmu. Tidak Rela MelepaskanNya..

Ya, jahiliyyah itu manis rasanya. Enak. Entah dari mana datang aromanya, tetapi ia tetap enak. Masakan engkau mahu melepaskannya? Sudah pasti yang enak itulah gula dalam liku hidupmu. Yang menaburkan seribu kemanisan. Kerana itulah yang engkau rasai, nikmati, hayati. Dan itulah yang menjadi pedoman hidupmu, itulah yang memacu pengabdian hatimu.

Wahai hati,

Engkau menggigit jahiliyyah, dalam naluri insaniyah. Demi jahiliyyah, engkau ketepikan Rabbaniyyah.

Dalam engkau meniti hari-hari baru, engkau mengira kematangan dirimu. Engkau menilai harga hatimu, rupanya hanyalah peti kosong tiada berisi. Dari mana rasa nikmat lazatmu itu? Entah. Lupakah engkau pada firman-Nya yang bermaksud:

“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)? (al-Maidah: 50)

Jahiliyyah itu sudah sejarah. Tertulis dalam catatan sirah. Dibicarakan pada kitab suci sebagai  mukjizat keagungan Rasulullah  S.A.W.

Tidakkah engkau sedar, bukan mudah menanggalkan karat jahiliyyah? Andai berkarat dalam hati, maka pengakhirannya hanyalah pada sekeping hati yang mati!

Ada benarnya, mengapa tidak kita duduk senang-lenang mewarisi sucinya agama Allah, habis disapu segala jahiliyyah dalam penat lelah usaha Rasulullah S.A.W dan pendukung-pendukungnya?

Marhalah ketika itu adalah marhalah Mekah. Itulah marhalah pertama dakwah Islam itu bermula. Di kala asingnya Islam di tengah-tengah jahiliyyah, tekanan golongan kufar yang berkeras menentang mereka dan sedikitnya bilangan mukmin yang mendapat cahaya haq.

Dan di hari ini, kelihatan tiada bezanya. Kembalinya kita kepada marhalah yang seakan sama. Rodanya berputar semula!

Memang begitulah sifatnya manusia. Mudah dipengaruhi. Seindah mana sebuah pelayaran, air laut yang terpercik, tetap manis dirasakan.

Jagalah hatimu, jangan biarkan berkarat lagi. Yang membawa hati atas nama Islam perlu menjadikan dirinya perisai pertama dan utama, dan dialah sang penghulu yang membawa bendera kemenangan menuju redha-Nya.

Maka tidaklah terpilih Muhammad itu menjadi Rasulullah, melainkan atas nalurinya sendiri untuk mencari pedoman hati yang benar dan hakiki. Allah memilihnya di celah-celah manusia yang berhimpun di dalam keasyikan jahiliyyah, menjadikannya al-Amin, kepercayaan si jahiliyyah! Sinar wahyu tidak boleh dicampuri jahiliyyah! Kerana wahyu itulah menjadi pelindung peluru jahiliyah yang bisa membunuh!

Maka engkau du’at yang membawa risalah wahyu itu, tegakkan pada dirimu akan bentengnya. Janganlah ia menembusi dirimu sendiri!

Kematangan dalam medan dakwah ini, bukanlah dinilai dengan usia yang mengiringi. Jalan ini akan mendampingi ke penghujung usia., Bagi aku dan mungkin dirimu, kita masih muda melangkah. Namun masih banyak kasih sayang-Nya yang belum kita nikmati. Kemanisan di jalan ini masih belum kita hirup sepenuhnya. 

Namun aku yakin, dan engkau turut begitu, bahawa janji Allah tidak pernah dimungkari, seperti yang disabdakan Nabi yang membawa maksud: .

“Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka, sehingga datanglah hari Kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka.” (HR Muslim)


No comments: